Kisahku Ketika Makan Gaji dan Selepas Kerja Sendiri
Dua hari lepas aku menghadiri satu sharing session yang dianjurkan oleh satu group usahawan muda yang amat berjaya.
Dan salah satu sharing yang betul-betul membuatkan aku termenung dan mengelamun mengenangkan diri aku sendiri apabila dia menyentuh bab kerja makan gaji dan kerja sendiri.
Lebih kurang 18-22 orang hadirin yang semuanya ialah lelaki dan ada di kalangan mereka ialah usahawan sepenuh masa dan ada sebahagiannya masih kerja makan gaji dan melakukan kerja sampingan untuk mencari pendapatan tambahan.
Mentaliti Aku Dahulu Ketika Makan Gaji
Bagi orang yang makan gaji, mentaliti dari segi rezeki yang dapat setiap bulan memang amat berbeza dengan orang yang membuat bisnes sendiri.
Setiap bulan kita pasti akan mendapat gaji dan tidak pernah risau akan saat di mana duit tidak cukup. Kalau duit habis belanja bulan ini, ahhh tak pe, bulan depan dapat lagi, apa susah !!
Memandangkan aku juga dahulu seorang yang makan gaji dengan gaji bulanan yang agak lumayan maka aku bersetuju dengan beliau.
Apabila tetiba bulan ini aku terlebih belanja, aku tak pernah risau yang duit tak akan habis sebab bulan depan pasti majikan aku akan bayar gaji.
Namun atas sebab yang tertentu yang tidak didapat elakkan aku terpaksa bekerja sendiri walaupun aku agak menyesal pada mulanya kerana berhenti kerja.
Mungkin ada hikmah di sebaliknya – itulah yang boleh aku katakan pada diriku sendiri untuk menyedapkan hati.
Mentaliti Aku Sekarang Apabila Buat Kerja Sendiri
Tetapi apabila kita berbisnes sendiri dan menghadapi saat apabila bulan tertentu duit habis belanja dan mengenangkan bisnes yang tidak begitu memberangsangkan, adakah kita akan terfikir bahawa, emm, tak pelah bulan depan gaji masuk lagi…
Sejujurnya, aku akan tidak senang duduk kerana tiada majikan yang akan beri gaji lumayan yang tetap setiap bulan sebab makan minum aku dan keluarga semuanya bergantung kepada bisnes ini.
Dan ketika saat susah begini lah dalam hati sentiasa bermonolog, ” Ya Allah, berilah aku pelanggan hari ini” ” Ya Allah, tunjuk lah jalan aku dalam buat bisnes ini “.
Dan ketika inilah sejadah baru dicari untuk memohon petunjuk darinya…
Berbeza dengan aku dahulu ketika makan gaji, boleh dikatakan tidak pernah mencari sejadah untuk solat hajat secara sendiri memohon untuk permudahkan urusan pekerjaan aku.
Kalau ada pun itu pun sebab imam yang ajak solat hajat berjemaah sesudah solat Maghrib atau Isya’ di masjid dan bukannya kehendak diri sendiri.
Sememangnya perniagaan yang aku ceburi ini banyak mengajar aku untuk lebih mengingati-Nya dan sentiasa meminta dengan-Nya walaupun ketika hendak tidur.
Dan sedikit demi sedikit jalan yang ditunjukkan semakin nampak walaupun kadang-kadang kita tak perasan.
Contohnya kalau dulu aku seorang yang buta IT dan sekarang aku dah boleh mencarisesuap nasi secara online walaupun banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi. Sesuatu yang tidak aku sangka.
Apa yang dikongsikan oleh uasahawan tersebut tentang kisah hidup dia memang betul sama dengan situasi aku dahulu dan sekarang. Kadang-kadang kita tidak sedar percaturan Allah memang terbaik untuk kita.
Sentiasalah Bersangka Baik Kepada-Nya
Walaupun pendapatan bisnes sendiri tidaklah selumayan ketika makan gaji dahulu namun aku bersyukur dan redha atas kehendak-Nya kerana ustaz sentiasa berpesan di dalam ceramah,
“Walaupun seteruk mana ujian yang kita hadapi di dunia, kita wajib bersangka baik yang percaturan Allah lebih baik daripada segala-galanya”.
Wassalam. :)
******
0 comments:
Post a Comment